Tuesday, March 10, 2009

Muslim kah aku?

Assalamu'alaikum,


Satu petikan dari deraf manuskrip Tak Kenal Maka Ta'aruf. Semoga ada manfaatnya.



Kembara Tak Kenal Maka Ta’aruf singgah di benua Amerika Utara di sebuah pekan kecil di Iowa. Sekitar 1981 beberapa bulan setelah aku berada di bumi Amerika, aku dapati diriku di situasi yang ironis sekali. “I’m trying to be a Muslim” satu suara lantang menusuk telingaku. Aku yang duduk tak jauh dari situ terkeliru. Tak faham, aku tak faham. Betul ke apa yang aku dengar ni? Seorang lelaki lewat 20an berketurunan Arab, kerap terlihat di musolla kampus bersama-sama rakan Muslim yang lain berkata sedemikian? Malah sewaktu ayat itu diucapkan dia berada di musolla menanti waktu menunaikan solat. Ketika itu aku masih belasan tahun, masih mentah dengan kehidupan di negera asing ini, apatah lagi dengan hal-hal agama. Astaghfirullah . . . itu saja yang terlintas di fikiranku. Tamat cerita.


Bertahun-tahun kemudian setelah pulang ke tanah air, aku teringat kembali kisah si Arab yang masih mencuba untuk menjadi Muslim itu. Aku kini lebih dewasa, punya isteri dan anak dan telah menjadi pendidik. Aku selami semula kata-katanya. Ahh . . . kesal . . . kesal. Kesal kerana tidak mengenali si Arab dengan lebih dekat. Kesal kerana namanya pun aku tak tahu. Kesal kerana aku tidak pun cuba berta’aruf dengannya. Jikalah aku ketika itu berani berinteraksi dengannya pasti akan ku dapati butir-butir mutiara daripadanya buat bekalan kembara ku ini.


Aku mulai faham maksud tersirat kata-katanya itu. Kerana aku juga ketika itu sedang mencuba menjadi seorang suami dan seorang ayah, dan di waktu yang sama seorang pendidik, walaupun hakikatnya aku memang telah beristeri dan punya anak dan telah bergelar pensyarah. Aku juga sebenarnya “trying to be a Muslim”. Anda bagaimana?



Abi

Blogger Templates by OurBlogTemplates.com 2007